Koleksi Cerita Kanak - Kanak





Cerita 1
Pemotong Kayu Yang Jujur

Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu yang tua dan miskin. Adapun kemampuannya hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.

Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi.......
Pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si suami kerana sakit.

Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api. Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur seuzur usianya.... Sehinggalah kepenatan tidak jua dia berhenti.....

Tiba-tiba... genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu tercebur kedalam sungai yg dalam. Menangis sayulah si tua kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki... hendak terjun mencari takut disambar arus... meratap lah ia mengenangkan nasib...
Maka...bersimpatilah pari-pari dilangit melihat kegundahan si tua tersebut.... lalu turunlah ia bertanya... "wahai orang tua... kenapa bersedih hati"...

Dengan nada perasaan takut dan terkejut diperamati benar-benar, maka tahulah dia si pari-pari telah turun kebumi menyapakan....lalu diceritakan apa yang berlaku...

"Baiklah..akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam"... lalu dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai.... selang beberapa minit timbul lah kembali si paripari sambil mebawa kapak emas lalu dihulur kepada situa.... Dengan sedih jawab situa "..bukan..ini bukan kepunyaan hamba...tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini"....

Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak. Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur.

Maka apabila terpandang akan kapak itu...giranglah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan kejujuranya kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.

Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada isterinya apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya.
Keesokan harinya isteri si tua itupun sihat...

- T A M A T -





Cerita 2
BAWANG PUTIH BAWANG MERAH

Pada zaman dahulu ada sepasang suami isteri yang tinggal agak terpencil dari orang ramai. Si suami bernama Pak Ali dan Si Isteri bernama Mak Labu. Sungguhpun sudah lama mereka berumah tangga tetapi mereka masih belum mempunyai cahaya mata.

Pada suatu hari Pak Ali telah berterus terang dengan isterinya. “Labu, aku berhajat hendak beristeri seorang lagi kerana berkehendakkan anak, walaupun sudah lama engkau menjadi isteri aku tetapi engkau tidak dapat melahirkan anak.”
“Kalau bergitu niat abang, saya relalah abang berkahwin lain walaupun berat rasa hati ini,” beritahu Mak Labu terus terang.

“Terimakasih atas kerelaan engkau itu Labu. Aku akan bersifat sama adil bila aku beristerikan seorang lagi nanti,” janji pak Ali.

Akhirnya Pak Ali pun beristeri baru. Isteri barunya itu bernama Mak Kundur. Walaupun mereka bermadu tapi mereka tinggal serumah. Tepat seperti dijanjikan, Pak Ali melayan isteri-isterinya itu seadil-adilnya.

Setelah setahun berkahwin, dengan tidak disangka-sangka isteri tuanya yang disangka mandul itu mengandung empat bulan dan isteri mudanya mengandung tiga bulan.

“Syukur kepada Allah kerana tidak lama lagi aku akan mendapat dua orang anak sekaligus,” fikirnya dalam hati.

Apabila sampai masanya, kedua-dua orang isterinya itu pun melahirkan anak. Kedua-duanya anak perempuan belaka. Anak Mak Labu diberi nama Bawang Merah dan anak Mak Kundur bernama Bawang Putih. Nama-nama itu diambil sempena dengan tanaman Pak Ali yang sangat subur pada masa itu iaitu bawang merah dan bawang putih. Semenjak itu juga nama kedua-dua isterinya ditukar menjadi Mak Bawang Merah dan Mak Bawang Putih. Masa terus berlalu. Kini umur kedua-dua anaknya telah mencapai dua belas tahun. Rupa kedua-dua gadis itu sangatlah cantik. Memang sukar anak-anak gadis di kampung itu hendak mengatasi kecantikkan Bawang Merah dan Bawang Putih. Tetapi kalau ditanya kepada Mak Bawang Putih siapakah yang lebih cantik, tentu Mak Bawang Putih akan menjawab Bawang Putih yang cantik. Jika ditanya kepada Mak Bawang Merah, Mak Bawang Merah akan menjawab yang kedua-duanya sederhana tidak ada siapa yang lebih cantik.
Tentang perangai pula, didapati Bawang Putih lebih nakal dan jahat. Disuruhnya Bawang Merah memasak nasi dan membuat kerja itu dan ini. Kalau di hadapan Pak Ali, Bawang Putih pandai pula bermuka-muka membuat kerja.

Pada suatu hari Pak Ali pergi mengail ikan dengan Bawang Merah. Hari itu nasib Pak Ali kurang baik kerana entah bagaimana Pak Ali disengat oleh seekor ikan sembilang yang baru sahaja mengena kailnya. Pak Ali memanggil anaknya Bawang Merah membantunya kerana tidak tahan menanggung kesakitan akibat disengat oleh ikan itu. Dengan perasaan yang cemas, Bawang Merah memapah bapanya pulang ke rumah.

Apabila sampai di rumah, kedua-dua isterinya terperanjat melihatkan Pak
Ali pulang dalam kesakitan. Mak Bawang Merah pergi menjemput Pawang Jidun iaitu seorang pawang yang terkenal di kampung itu. Pawang Jidun pun mengubat Pak Ali secara perubatan tradisional. Oleh kerana ajalnya telah sampai, perubatan Pawang Jidun tidak memberi apa-apa kesan. Pak Ali pun meninggal dunia. Pemergian Pak Ali yang kekal abadi itu ditangisi oleh keluarganya.

Semenjak Pak Ali meninggal dunia, perselisihan dan pergaduhan diantara Mak Bawang Merah dan Mak Bawang Putih selalu sahaja terjadi. Sebab utama tentulah hal anak-anak kerana mereka tinggal serumah jadi selalu sajalah mereka bertengkar.

Mak Bawang Putih sangat benci kepada Mak Bawang Merah. Dia sentiasa sahaja mencari peluang untuk menghapuskan Mak Bawang Merah. Pada suatu hari, peluang yang ditunggu-tunggu selama ini terbuka. Apalagi hanya mereka berdua sahaja yang berada ditempat itu. Kebetulan Mak Bawang Merah sedang menceduk air di perigi lama. Mak Bawang Putih datang dari arah belakang dan terus menolak Mak Bawang Merah ke dalam perigi. Oleh kerana perigi itu dalam, dia terus tenggelam dan lemas. Perigi itu jarang digunakan. Selalunya mereka menggunakan perigi di hadapan rumah mereka.

"Mampuslah engkau!” jerit Mak Bawang Putih dengan geramnya.

Tiga jam berlalu tetapi Bawang Merah masih belum tahu kemana emaknya pergi. Sedang dia termenung dan bersedih hati memikirkan ibunya, tiba-tiba Mak Bawang Putih datang dari arah belakang dan memukulnya lalu Bawang Merah pun jatuh pengsan di situ juga dengan berlumuran darah keluar dari hidung dan mulutnya. Mak Bawang Putih yang tidak menaruh belas kasihan apabila melihat Bawang Merah pengsan itu, terus mengajak anaknya bersama-sama pergi ke rumah saudaranya.

Tidak berapa lama selepas itu, Bawang Merah tersedar dari pengsan. Dia menangis tersedu-sedu sambil memangggil-manggil nama emaknya. Puas dipanggil dan dicari namun tidak ada. Dia juga hairan kerana Mak Bawang Putih dan Bawang Putih juga tidak ada di rumah. Hari sudah malam tidak ada sesiapa yang pulang. Bawang Merah merasa cemas tinggal keseorangan diri di rumah yang di kelilingi hutan tebal itu. Pintu rumah dikunci rapat-rapat. Setelah jauh malam akhirnya dia pun tertidur.
Dalam tidurnya dia bermimpi ibunya datang kepadanya dengan memakai telekung putih. “Anakku bawang Merah! Mak telah mati ditolak ke dalam perigi lama oleh Mak Bawang Putih semasa mak menceduk air. Mak tidak sangka dia tergamak melakukan perbuatan itu terhadap Mak. Ingatlah anakku, kau jagalah diri mu dari telatah Mak Bawang Putih yang ganas itu. Sekarang Mak hendak pergi dahulu. Kau tinggallah baik-baik.”

Sebaik sahaja emaknya meminta diri, Bawang Merah pun terjaga dari tidurnya. Dia memandang sekeliling mencari-cari emaknya. Mulutnya memanggil-manggil “Mak…….Mak.”

Namun tidak ada jawapan, barulah dia sedar rupanya dia bermimpi, dia menangis sekuat-kuat hatinya kerana dia pecaya segala kata-kata dalam mimipinya tadi dan tambahan pula dengan sikap Mak Bawang Putiah yang memukulnya dan meninggalkannya itu.

Esoknya, pagi-pagi lagi dia pergi ke perigi tersebut. Tanpa disedari air matanya membasahi kedua belah pipinya sambil mulutnya bersuara. “Mak……..Mak.”
Sedang Bawang Merah bersedih memerhati ke dalam perigi itu, dengan kehendak Allah tiba-tiba timbullah seekor ikan kaloi. Ikan itu boleh berkata-kata:“Wahai anakku Bawang Merah. Akulah mak engkau. Mak telah mati ditolak ke dalam perigi ini oleh Mak Bawang Putih. Engkau datanglah bermain dengan mak pada tiap-tiap hari. Bawalah makanan untuk mak sekepal nasi melukut dan sayur keladi.” Kemudian ikan itu tidak dapat berkata lagi untuk selama-lamanya.

Setelah itu Bawang Merah pun pulang ke rumah. Bila sampai di rumah didapati Mak Bawang Putih dan Bawang Putih sudah menunggu dengan muka bengis.

“Ke mana engkau pergi?”

Mak cik, saya sedang mencari mak saya,” jawab Bawang Merah.

“Mak engkau sebenarnya telah mati kerana jatuh ke dalam perigi. Aku telah berusaha hendak menolongnya tetapi tidak terdaya,” jawab Mak Bawang Putih berbohong.

Bawang Merah tidak berkata apa-apa. Dia tidak percaya dengan kata-kata Mak Bawang Putih. Dia yakin dengan mimpinya malam tadi dan percakapan ikan kaloi di perigi sebentar tadi.

“Lekas pergi ke dapur dan masak untuk kami. Ingat! Mulai hari ini kami berdua menjadi raja dalam rumah ini, kami tidak mahu membuat apa-apa kerja. Segala kerja seperti memasak, mencuci kain dan mengemas rumah adalah tugas engkau!” beritahu Mak Bawang Putih dengan sombong.

Bawang Merah terpaksa menurut sahaja perintah itu. Tiap-tiap hari tidak ada peluang langsung dia hendak berehat, asyik dengan membuat kerja sahaja.

Bagaimanapun pagi-pagi lagi sebelum Mak Bawang Putih dan Bawang Putih bangun dari tidur, dia sudah pergi ke perigi. Lalu dia bergurindam memanggil ibunya:

“Mak….Mak…..Ikan kaloi,

Timbullah Bawang Merah datang,

Nasi melukut sayur keladi,

Untuk mak makan di pagi hari.”

Sebaik sahaja Bawang Merah bergurindam, ikan kaloi itu pun timbul lalu Bawang Merah pun memberi makan. Setelah selesai Bawang Merah pun pulang.

Pada mulanya perkara itu tidak diketahui oleh sesiapa. Dua minggu selepas itu, rahsia itu pecah juga. Pagi itu Bawang Putih bangun dari tidur terlebih awal kerana hendak membuang air kecil. Selepas buang air, dia terdengar suara orang bergurindam. Perlahan-lahan dia mengintai di sebalik semak.
“Oh, di sini rupanya si Bawang Merah datang hari-hari. Akan aku perhatikan apa yang dibuatnya disini.” bisik Bawang Putih.

Dia dapat melihat dan mendengar segala-galanya yang berlaku. Lantas dia cepat-cepat pulang dan mengadu kepada emaknya.

“Oh begitukah? Nanti aku akan tangkap ikan itu!” kata mak Bawang Merah. Segala rangkap gurindam itu dihafal oleh Mak Bawang Putih. Pada waktu tengah hari ketika Bawang Merah sedang bekerja di rumah, Mak Bawang Putih pergi ke perigi itu dan membawa sekepal nasi melukut dan sayur keladi. Mak Bawang Putih pun bergurindam:

"Mak….Mak…..Ikan kaloi,
Timbullah Bawang Merah datang,
Nasi melukut sayur keladi,
Untuk mak makan di pagi hari.”

Ikan itu tidak timbul. Mak Bawang Putih bergurindam lagi. Tidak timbul juga. Kemudian Bawang Putih pula yang bergurindam. Tidak juga timbul. Bawang Putih bergurindam lagi. Barulah ikan itu timbul. Sebaik sahaja ikan itu timbul, ikan itu pun disauk dengan penyauk. Secara diam-diam mereka membawa balik ikan itu.

“Bawang Merah, tengah hari ini biarlah Mak Cik masak. engkau pergi cari kayu api,” katanya kepada Bawang Merah.

“Baiklah Mak Cik.”

Sepeninggalan Bawang Merah, Mak Bawang Putih pun menggulai ikan itu. Bila Bawang Merah pulang dari mencari kayu api, dia terus dipelawa makan nasi berlaukkan ikan gulai tadi. Berselera sekali nampaknya dia memakan ikan itu.
Keesokkan paginya seperti biasa Bawang Merah pergi ke perigi untuk memberi iakn kaloi itu makan. Dia bergurindam. Tapi berkali-kali dia mengalunkan gurindam ikan kaloi itu tidak timbul-timbul. Dia pun menangis teresak-esak kerana ikan kaloi tidak lagi timbul. Sedang dia menangis tiba-tiba terdengar satu suara ghaib …

“Tidak usahlah engkau menangis Bawang Merah. Ikan kaloi sudah ditangkap oleh Mak Bawang Putih dan sudah dibuat gulai yang engkau makan semalam. Dan sekarang engkau carilah tulang-tulangnya dan tanamlah.” kemudian suara itu pun hilang.

Sebaik saja suara itu ghaib, Mak Bawang Putih datang dari arah belakang dan memukulnya dengan kayu.

“Anak sial! Apa yang engkau buat di tepi perigi ini? Oh, engkau hendak berjumpa mak engkau ikan kaloi itu ya! Semalam yang engkau makan itulah ikan kaloi mak engkau! Lekas balik ke rumah dan masak nasi” herdik Mak Bawang Putih.
Setelah selesai memasak nasi, dengan senyap dia turun ke bawah rumah untuk mencari tulang-tulang ikan itu. Puas dia mencari, barulah berjumpa tulang-tulang itu dihimpun dan ditanam di atas bukit jauh sedikit dari rumahnya. Atas kehendak Allah Taala, dalam masa sebulan sahaja tukang-tulang ikan itu menjadi sepohon pohon beringin yang rendang. Dia menggantungkan buaian di dahan pohon itu. Ketika ada masa lapang, dengan diam-diam dia bermain buaian disitu. Sambil berbuai dia akan menyanyi:



Tinggi-tinggi pohon beringin 
Kalau tinggi menyapu awan
Kalau rendah menyapu bumi
Laju-laju buai laju
Bertiuiplah angin bayu-bayu
Tolonglah aku yatim piatu

Dengan berbuat demikian dapatlah juga meghiburkan hatinya yang sedang gelisah. Pada ketika itu ada seorang raja sedang berburu. Baginda diiringi oleh beberapa orang hulubalangnya. Sudah dua hari dua malam baginda berburu tetapi tidak mendapat seekor binatang buruan pun. Namun begitu baginda tetap sukacita. Perangainya berbeza dari biasa. Biasanya kalau dalam keadaan begitu baginda sangat murka dan terus mengajak pengiring-pengiringnya pulang sahaja. Perubahan perangai baginda itu sangat luar biasa.

Pada pagi yang ketiga mereka berburu lagi. Tiba-tiba melintas di hadapan baginda seekor rusa. Dengan pantas baginda memanah tetapi tidak kena. Biasanya kalau seperti itu, rusa itu sudah tentu terkena anak panah baginda.

Baginda memerintah hulubalang-hulubalangnya mengejar rusa itu sambil mencari binatang buruan yang lain. Namun segala-galanya hampa. Sedang mereka berjalan-jalan, salah seorang hulubalang mendengar suara seorang perempuan menyanyi.
“Datuk Menteri, cuba dengar suara perempuan sedang menyanyi!” kata hulubalang kepada Datuk Menteri.

“Mengarut engkau ini. Dalam hutan begini mana ada perempuan menyanyi!” jawab Datuk Menteri.

“Cuba Datuk dengar sendiri.”

“Jangan-jangan suara hantu!” kata Datuk Menteri.

Mereka bersepakat hendak menghampiri ke tempat suara itu, akhirnya mereka dapat melihat penyanyi itu ialah Bawang Merah. Kerana wajah Bawang Merah yang sangat cantik mereka berpakat hendak mempersembahkan pertemuan itu kepada tuanku kerana tuanku raja masih belum beristeri.

Bawang Merah terasa dirinya sedang diintai. Dia pun cepat-cepat lari pulang. Dua orang hulubalang tadi mengekori Bawang Merah secara sulit untuk mengetahui rumahnya.

Kemudian mereka pun persembahkan perkara itu kepada baginda. Baginda sangat senang hati mendengar cerita itu. Mereka pun beramai-ramai pergi ke rumah Bawang Merah.
“Assaalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”jawab Mak Bawang Putih.
“Tuan hamba, sebentar tadi kami melihat ada seorang gadis cantik sedang bermain buaian di bukit sana.” Kata Datuk Menteri.
“Gadis cantik? Oh..memang ada dia anak patik,” jawab Mak Bawang Putih.
Maka mak Bawang Putih pun memanggil Bawang Putih keluar untuk mengadap Datuk Menteri.
“Bukan ini. Yang lain. Dia lebih cantik!” jawab Datuk Menteri.
“ Yang seorang lagi ada tapi dia orang gaji patik” jawab Mak Bawang Putih.
Bila mak Bawang Putih menarik Bawang Merah mengadap Datuk Menteri tiba-tiba Datuk Menteri menjerit.
“Haa inilah orangnya! Dialah yang berbuai dan menyanyi dengan merdunya!”
“Menyanyi?” fikir Mak Bawang Putih.
“Tuanku, kalau dalam soal menyanyi anak patik Bawang Putih lagi pandai.”

Untuk itu baginda sultan hendak membuat ujian di hadapan orang ramai. Mula-mula Bawang Putih dahulu yang menyanyi. Bawang Putih belum pernah menyanyi dan menaiki buaian lalu merasa kekok sekali. Hendak naik ke atas buaian pun teragak-agak. Kemudian dia pun menyanyi. Suaranya sumbang dan tidak ada irama langsung. Senikatanya pun tidak ada erti langsung.

Tiba pula giliran Bawang Merah. Secara senang sahaja dia menaiki buaian. Buaian itu tidak perlu dihayun. Ia berbuai sendiri semakin lama semakin laju. Nyanyiannya pula sangat merdu. Sama seperti yang di dengar oleh Datuk Menteri dan hulubalang-hulubalang. Dengan itu baginda sultan pun bersetuju menjadikan Bawang Merah permaisuri baginda.

“Apakah ini orang gaji Mak Cik?” tanya baginda.
“Ampun tuanku, sebenarnya dia ini anak tiri patik. Walaupun anak tiri, patik menjaga seperti anak sendiri”.

Akhirnya berkahwinlah Bawang Merah dengan tuanku. Dia pun menjadi isteri kesayangan baginda dan telah berpindah di istana baginda. Walaupun begitu Bawang Merah tetap tidak menyisihkan Mak Bawang Putih dan Bawang Putih. Mereka tetap diajak tinggal bersama di istana.

Walaupun dapat tinggal di istana dengan segala kemudahan disediakan, namun iri hati dan jahatnya masih membara. Mak Bawang Putih ingin melihat Bawang Merah bercerai dengan baginda sultan dan mengambil anaknya Bawang Putih sebagai ganti.






Suatu hari dia masuk ke bilik Bawang Merah.

“Sungguh-sungguhkah kau sayangkan suamimu?” tanya Mak Bawang Putih kepada Bawang Merah.

“Kenapa Mak Cik tanya begitu? Takkan saya tidak sayang kepada suami!” jawab Bawang Merah.

“Begini, sebenarnya engkau ini tidak layak menjadi permaisuri kerana tidak berketurunan raja!”

“Benar kata makcik itu. Habis apa saya harus buat?”

Lalu diberi sebungkus miang buluh. Miang buluh itu disuruh tabur di seluruh tempat tidur baginda.

“Dengan cara ini baginda akan merasa sangat sayang kepada engkau dan baginda akan lupa sama sekali tentang keturunan engkau,” kata Mak Bawang Putih. “Tetapi jangan beritahu yang Mak Cik suruh berbuat begitu,” pesannya lagi.

Malam itu baginda hendak beradu. Oleh kerana terasa hangat, baginda membuka baju lalu merebahkan diri di atas katil.

“Aduh gatalnya! Miang rasanya. Apakah benda ini?”

“Kenapa kanda?” tanya Bawang Merah terperanjat.

“Apa yang adinda tabur di tempat tidur kanda ini?”

“Dinda tabur miang buluh untuk mengeratkan lagi ikatan kasih sayang kita berdua.”

“Dinda, dinda! Kenapalah dinda bodoh sangat!” keluh baginda sultan.

Di hari lain pula, Mak Bawang Putih masuk lagi ke bilik Bawang Merah untuk menghasut.

“Bagaimanakah miang buluh yang makcik suruh engkau tabur itu?”

“Saya telah lakukan dan nampaknya baginda murka juga tetapi tidak berpanjagan.”

“Ini menandakan yang petua ini mulai berjaya kerana kalau baginda betul-betul murka, tentu dihalaunya engkau,” kata Mak Bawang Putih. “Ada sejenis lagi ubat kasih sayang yang engkau mesti lakukan terhadap baginda.”

“Saya tidak mahu lagi makcik. Saya takut baginda murka!”

“Jangan jadi bodoh Bawang Merah. Selagi engkau tidak lakukan yang ini, kasih sayang engkau tidak akan berpanjangan.”

Mak Bawang Putih berbisik kepada Bawang Merah. Bawang Merah terperanjat mendengarnya.

“Tidak makcik! Saya tidak mahu melakukannya!”

Mak Bawang Putih terus juga memujuk. Akhirnya Bawang Merah termakan pujuk. Dia pun mula melakukan apa yang diajar oleh Mak Bawang Putih itu.

Dia mengambil sebilah kapak yang tajam. Digantung hulunya di atas palang pintu. Sebaik sahaja baginda membuka pintu, dia akan menghayun mata kapak itu. Sudah tentu akan mengena dahi baginda.

Tidak lama lagi baginda akan masuk bilik. Bawang Merah bersedia dengan kapak yang tergantung itu. Baginda pun masuk. Kapak dihayun.

“Aduh kenapa ini dinda?” baginda berteriak kesakitan.

“Kanda!” Bawang Merah menerkam. Darah keluar dari dahi baginda akibat terkena mata kapak.

“Apakah yang dinda lakukan ini?” tanya baginda kehairanan.

“Untuk mengekalkan hubungan kasih sayang kita berdua!”

“Siapa yang mengajar semua ini?”

“Mm..Mm..Mak Bawang Putih.”

Mak Bawang Putih disuruh menghadap baginda. Oleh kerana niat jahatnya itu masih tidak dihentikan, baginda menghalau Mak Bawang Putih dan anaknya Bawang Putih keluar dari istana.

Maka dari itu terpaksalah mereka berdua bekerja semula untuk menyara hidup mereka.



- T A M A T -


Cerita 3
Kerana manisnya Dakwah

Telah diceritakan pada suatu masa dahulu, di satu tempat yang jauh terdapat seekor Rubah yang tinggal di tepi sungai.

Hampir setiap minggu Rubah akan berjalan merentasi sungai, merentasi jambatan yang panjang untuk pergi mendapatkan sebuah Apple yang letaknya di atas sebuah bukit yang tinggi. Perjalanan untuk menaiki bukit itu bukanlah satu perjalanan yang mudah, perjalanan yang memerlukan keazaman yang tinggi, merentasi banyak halangan yang berliku. Perjalanan yang memerlukan persediaan, bekalan untuk melalui perjalanan yang panjang.

Tanpa disedari, hampir setiap minggu seekor rusa akan melihat gelagat Sang Rubah. Pada mulanya Sang Rusa hanya mengabaikan sahaja Rubah, tetapi kerana hamper setiap minggu akan muncul juga Rubah maka gelagat Rubah telah menarik perhatian Rusa. Setelah disiasat, Rusa mendapati yang tujuan Rubah memanjat bukit itu adalah untuk mendapatkan sebiji Apple yang letaknya di atas sebuah bukit.


“Ini rupanya kerja Rubah, tujuannya untuk memetik Apple yang terdapat tinggi di atas sebuah bukit, aku pun nak rasalah” Rusa bermonolog sendirian.

Keinginan Rusa yang kuat mendorong Rusa memanjat bukit untuk memakan Apple dari pokok yang sama. Perjalanan Rusa tidak mudah kerana terpaksa melalui halangan, merentas arus sungai yang deras, melalui jambatan gantung untuk pergi ke pokok yang dituju, setelah penat merentas hutan, tibalah Rusa ke bawah pokok Apple tersebut. Sebaik sahaja Rusa mahu mengambil Apple tersebut, didapati ketinggiannya tidak mencukupi untuk mengambil Apple itu, Rusa mencuba dan terus mencuba dan akhirnya berputus asa kerana penat.

“Buat penat sahaja aku datang sini, dah la tak dapat makan Apple, nak ke sini pun susah, aku pun bukan tau panjat pokok” Rusa meninggalkan Apple itu begitu sahaja. Walaupun belum rasa tapi Rusa tahu yang Apple itu memang tidak sedap.

Selang beberapa hari kemudian, seperti biasa ketika Rubah hendak memanjat bukit yang terdapat didalamnya pokok Apple, Rusa telah bertanya khabar kepada Rubah,

“hai Sang Rubah, apa yang engkau nak lakukan?” Rusa bertanya walaupun dia sudah tahu akan jawapannya.

“Aku nak memanjat bukit ini untuk memakan buah Apple yang terdapat di puncak bukit ini, sedap Apple tu” Balas Rubah.
“Owh pokok Apple yang di atas bukit itu ke? Tapi perjalanan nak ke sana bukan mudah, kena melalui arus sungai, melalui tebing yang curam dan banyak lagi cabaran yang bakal dilalui, sedap sangat ke Apple di atas bukit itu, ada beza ke dengan Apple yang di bawah ini?”Tanya Rusa.

“Walaupun perjalanan untuk mendapatkan Apple itu jauh dan panjang, tetapi engkau akan rasa kemanisan Apple itu jika engkau memakannya” balas Rubah

“Taknaklah, kalau dah namanya Apple tu, sama sahaja dengan Apple di sini pun, Rusa pun berlalu meninggalkan Rubah”

Rubah meneruskan perjalanan untuk memetik buah Apple.

“Engkau tidak akan faham Rusa kerana engkau belum pernah merasa lagi betapa manisnya Apple itu”

Kerana manisnya Apple, Rubah sanggup mengharungi perjalanan yang panjang semata-mata untuk memakan Apple. Kesabaran dan kecekalan amat perlu untuk hanya memakan sebuah Apple yang terdapat di atas bukit yang tinggi.

Rusa pula tidak pernah merasa Apple yang terdapat di atas bukit, masakan pula dia boleh mengatakan yang Apple itu tidak sedap sedangkan dia tidak pernah menikmatinya, bahkan pula menjamahnya.

Begitu juga dakwah, jika tidak kerana manisnya, masakan ada yang sanggup berkorban kerananya, malahan mati kerananya. Berhabis duit, memerah segala yang ada hanya untuk memastikan tertegaknya Islam, untuk berdakwah, ya, kerana manisnya dakwah.

Lihat para sahabat, kalau tidak mahu lihatlah sekeliling, lihat kepada mereka yang berdakwah.

Jangan jadi seperti Rusa, belum rasa dikatanya tidak manis.



- T A M A T -


Cerita 4
Disebalik : Sang Kancil dan Sang Gajah


Bermulalah kisah pada suatu petang sang kancil yang cerdik bersiar-siar didalam hutan belantara. Sedang ia bersiar-siar tiba-tiba sang kancil telah terjatuh ke jurang yang amat dalam. Ia cuba untuk keluar berkali-kali malangnya tidak berjaya.

Setelah segala usaha yang dilakukan adalah sia-sia, sang kancil pun berfikir;

“Macam mana aku nak keluar dari lubang yang sangat dalam ini”

Setelah lama berfikir namun tiada idea yang bernas untuk sang kancil keluar dari lubang tadi, namun sang kancil tetap tidak mahu berputus asa.

Dalam kebuntuan mencari idea, sang kancil telah terdengar bunyi tapak kaki yang besar.

“Kalau bunyi tapak kaki macamni, ni tak lain, mesti gajah ni!”


Kemudian Sang Kancil mendapat satu idea yang bernas untuk menyelamatkan diri untuk keluar dari lubang.

Kemudian sang gajah yang lalu itupun menegur sang kancil;

“Eh sang kancil, tengah buat apa?” Tanya si Gajah.

“Menyelamatkan diri!”

“Dari apa?” Tanya gajah lagi.

“Dari bahaya, cuba tengok atas, langit nak runtuh, dah hitam” Balas sang kancil.

Gajah yang dungu ini pun terus mempercayai sang kancil bulat-bulat.

“Habis tu macam mana nak selamatkan diri?” Tanya si gajah.

“Masuklah sekali dalam lubang ini, kalau langit runtuh pun selamat kita dekat sini”

Tanpa berfikir panjang sang gajah pun terus melompat ke dalam lubang untuk menyelamatkan dirinya. Kemudian sang kancil pun mengambil kesempatan untuk melompat di atas badan gajah dan terus keluar dari lubang yang dalam itu.
“Haha, padan muka engkau, selamat aku” Kemudian sang kancil pun berlalu pergi meninggalkan sang gajah yang masih terpinga-pinga di dalam lubang tadi”.


Seronok juga bila membaca cerita kanak-kanak begini. Teringat masa kecil dulu, inilah cerita dongeng dan turun temurun yang diwarisi dari zaman berzaman. Namun bila difikirkan kembali, apa yang cuba untuk disampaikan melalui cerita ini?

Jadilah seperti sang kancil yang cerdik tapi tak baik?

Atau jadilah seperti sang gajah yang baik tapi tak cerdik?

“Orang baik tak cerdik akan ditipu, orang yang cerdik tapi tak baik akan menipu”

Jangan jadi sang kancil seperti dalam cerita tadi kerana sang kancil yang cerdik tapi tak baik telah menipu sang gajah untuk menyelamatkan diri. Juga jangan jadi seperti sang gajah kerana walaupun baik tapi tak cerdik akan ditipu.

Jadi tiada pilihan lain selain jadi orang yang cerdik dan baik kerana orang yang sebegini tidak akan ditipu juga tidak menipu. Dan pengakhiran cerita sang kancil dan sang gajah itu sepatutnya begini.

“Eh, sang kancil, tengah buat apa?” Tanya sang gajah.

“Aku terjatuh dalam lubang yang besar inilah, dah berkali-kali aku cuba untuk keluar tapi tak berjaya, bagaimana kalau engkau berjaya tolong aku untuk keluar dari sini, aku akan bagi tebu yang paling besar di dalam hutan rimba ini!” balas sang kancil

“Oh, ye ke, baiklah tapi aku nak keluarkan engkau bagaimana?”

“Cuba engkau tengok sekeliling, mana tau ada dahan kayu ke pokok tumbang ke untuk keluarkan aku dari lubang ini”

“Oh aku Nampak ada dahan kayu”

Kemudian sang gajah menggunakan kekuatannya menolak tunggul kayu dan menggunakan belalainya untuk menolak tunggul kayu ke dalam lubang.

Kemudian sang kancil pun keluar dari lubang itu dan seperti yang dijanjikan, memberikan sang gajah tebu yang paling besar dalam hutan rimba.

Kan bagus kalau pengakhirannya begini, sang kancil tidak menipu sang gajah dan sang gajah mendapat habuan setelah menyelamatkan sang kancil.

Win-win solution. Tiada yang kecewa. Apalah nak jadi kalau kanak-kanak di Malaysia ingin jadi seperti kancil yang cerdik tapi tak baik? Agaknya sebab itulah negara agak kacau kot, sebab ramai yang cerdik tapi tak baik.

Hanya andaian semata-mata, harap-harap bukan



- T A M A T -



Alibaba dan 40 Penyamun
Dahulu kala, dikota Persia, hidup 2 orang bersaudara yang bernama Kasim dan Alibaba. Alibaba adalah adik Kasim yang hidupnya miskin dan tinggal didaerah pegunungan. Ia mengandalkan hidupnya dari penjualan kayu bakar yang dikumpulkannya. Berbeda dengan abangnya, Kasim, seorang yang kaya raya tetapi serakah dan tidak pernah mau memikirkan kehidupan adiknya.
Suatu hari, ketika Alibaba pulang dari mengumpulkan kayu bakar, ia melihat segerombol penyamun yang berkuda. Alibaba segera bersembunyi karena takut jika ia terlihat, ia akan dibunuh. Dari tempat persembunyiannya, Alibaba memperhatikan para penyamun yang sedang sibuk menurunkan harta rampokannya dari kuda mereka. Kepala penyamun tiba-tiba berteriak, “Alakazam ! Buka…..”. Pintu gua yang ada di depan mereka terbuka perlahan-lahan. Setelah itu mereka segera memasukkan seluruh harta rampokan mereka. “Alakazam ! tutup… ” teriak kepala penyamun, pintu gua pun tertutup.

Setelah para penyamun pergi, Alibaba memberanikan diri keluar dari tempat sembunyinya. Ia mendekati pintu gua tersebut dan meniru teriakan kepala penyamun tadi. “Alakazam! Buka…..” pintu gua yang terbuat dari batu itu terbuka. “Wah… Hebat!” teriak Alibaba sambil terpana sebentar karena melihat harta yang bertumpuk-tumpuk seperti gunung. “Gunungan harta ini akan Aku ambil sedikit, semoga aku tak miskin lagi, dan aku akan membantu tetanggaku yang kesusahan”. Setelah mengarungkan harta dan emas tersebut, Alibaba segera pulang setelah sebelumnya menutup pintu gua. Istri Alibaba sangat terkejut melihat barang yang dibawa Alibaba. Alibaba kemudian bercerita pada istrinya apa yang baru saja dialaminya. “Uang ini sangat banyak… bagaimana jika kita bagikan kepada orang-orang yang kesusahan..” ujar istri Alibaba. Karena terlalu banyak, uang emas tersebut tidak dapat dihitung Alibaba dan istrinya. Akhirnya mereka sepakat untuk meminjam kendi sebagai timbangan uang emas kepada saudaranya, Kasim. Istri Alibaba segera pergi meminjam kendi kepada istri Kasim. Istri Kasim, seorang yang pencuriga, sehingga ketika ia memberikan kendinya, ia mengoleskan minyak yang sangat lengket di dasar kendi.

Keesokannnya, setelah kendi dikembalikan, ternyata di dasar kendi ada sesuatu yang berkilau. Istri Kasim segera memanggil suaminya dan memberitahu suaminya bahwa di dasar kendi ada uang emas yang melekat. Kasim segera pergi ke rumah Alibaba untuk menanyakan hal tersebut. Setelah semuanya diceritakan Alibaba, Kasim segera kembali kerumahnya untuk mempersiapkan kuda-kudanya. Ia pergi ke gua harta dengan membawa 20 ekor keledai. Setibanya di depan gua, ia berteriak “Alakazam ! Buka…”, pintu batu gua bergerak terbuka. Kasim segera masuk dan langsung mengarungkan emas dan harta yang ada didalam gua sebanyak-banyaknya. Ketika ia hendak keluar, Kasim lupa mantra untuk membuka pintu, ia berteriak apa saja dan mulai ketakutan. Tiba-tiba pintu gua bergerak, Kasim merasa lega. Tapi ketika ia mau keluar, para penyamun sudah berada di luar, mereka sama-sama terkejut. “Hei maling! Tangkap dia, bunuh!” teriak kepala penyamun. “Tolong… saya jangan dibunuh”, mohon Kasim. Para penyamun yang kejam tidak memberi ampun kepada Kasim. Ia segera dibunuh.

Istri Kasim yang menunggu dirumah mulai kuatir karena sudah seharian Kasim tidak kunjung pulang. Akhirnya ia meminta bantuan Alibaba untuk menyusul saudaranya tersebut. Alibaba segera pergi ke gua harta. Disana ia sangat terkejut karena mendapati tubuh kakaknya sudah terpotong. Setibanya dirumah, istri Kasim menangis sejadi-jadinya. Untuk membantu kakak iparnya itu Alibaba memberikan sekantung uang emas kepadanya. Istri Kasim segera berhenti menangis dan tersenyum, ia sudah lupa akan nasib suaminya yang malang. Alibaba membawa tubuh Kasim ke tukang sepatu untuk menjahitnya kembali seperti semula. Setelah selesai, Alibaba memberikan upah beberapa uang emas.

Dilain tempat, di gua harta, para penyamun terkejut, karena mayat Kasim sudah tidak ada lagi. “Tak salah lagi, pasti ada orang lain yang tahu tentang rahasia gua ini, ayo kita cari dan bunuh dia!” kata sang kepala penyamun. Merekapun mulai berkeliling pelosok kota. Ketika bertemu dengan seorang tukang sepatu, mereka bertanya,”Apakah akhir-akhir ini ada orang yang kaya mendadak ?”. “Akulah orang itu, karena setelah menjahit mayat yang terpotong, aku menjadi orang kaya”. “Apa! Mayat! Siapa yang memintamu melakukan itu?” Tanya mereka. “Tolong antarkan kami padanya!”. Setelah menerima uang dari penyamun, tukang sepatu mengantar mereka ke rumah Alibaba. Si penyamun segera memberi tanda silang dipintu rumah Alibaba. “Aku akan melaporkan pada ketua, dan nanti malam kami akan datang untuk membunuhnya,” kata si penyamun. Tetangga Alibaba, Morijana yang baru pulang berbelanja melihat dan mendengar percakapan para penyamun.

Malam harinya, Alibaba didatangi seorang penyamun yang menyamar menjadi seorang pedagang minyak yang kemalaman dan memohon untuk menginap sehari dirumahnya. Alibaba yang baik hati mempersilakan tamunya masuk dan memperlakukannya dengan baik. Ia tidak mengenali wajah si kepala penyamun. Morijana, tetangga Alibaba yang sedang berada diluar rumah, melihat dan mengenali wajah penyamun tersebut. Ia berpikir keras bagaimana cara untuk memberitahu Alibaba. Akhirnya ia mempunyai ide, dengan menyamar sebagai seorang penari. Ia pergi kerumah Alibaba untuk menari. Ketika Alibaba, istri dan tamunya sedang menonton tarian, Morijana dengan cepat melemparkan pedang kecil yang sengaja diselipkannya dibajunya ke dada tamu Alibaba.
Alibaba dan istrinya sangat terkejut, sebelum Alibaba bertanya, Morijana membuka samarannya dan segera menceritakan semua yang telah dilihat dan didengarnya. “Morijana, engkau telah menyelamatkan nyawa kami, terima kasih”. Setelah semuanya berlalu, Alibaba membagikan uang peninggalan para penyamun kepada orang-orang miskin dan yang sangat memerlukannya.

Sumber :
dongeng1001malam.blogspot.com
Related Posts with Thumbnails